31 January 2015

Cerita (Pendek) Seram II

[Kredit]

Kisah Yang Lagi Seram

Soraya rasa lugu. Bosan pon bukan. Dungu pon bukan. Tapi lugu. Kau orang tahu lugu tu apa?

Dia rasa macam hati dia dah keras. Tak tau kenapa. Tapi tulah yang dia rasa sekarang ni.

Soraya terbaring terlentang di atas katilnya. Direnungnya siling biliknya macamlah siling biliknya itu benda paling penting dalam hidupnya ketika itu. Kalau tak silap dia, dua tiga minit lepas dia nampak muka Shah Rukh Khan kat siling tu. Untung nasib badan, kejap lagi keluar muka Hrithik Roshan pula.       

Bosan merenung siling, direnung pula kipas cap Pensonik yang sedang berputar pada kelajuan yang paling perlahan. Punyalah teliti Soraya tenung kipas tu, sampaikan dia boleh kira berapa putaran kipas tu dalam masa satu saat. Peh.

Soraya bingkas bangun. Dia rimas. Dia tidak tahan begitu.

Entah macam mana tiba-tiba dia dapat idea gila. Gila tapi bombastik. Gila tapi best.

Dia sumpah seranah diri sendiri sebab pelik kenapalah tak terfikir pasal idea tu tiga jam yang lepas. Hampir tiga jam dia dok tenung siling dan kipas. Siling dan kipas. Memang pathetic.

Tak jauh dari rumah dia ada satu bukit kecik. Bukit tu walaupon kecik, tapi dia penuh dengan pokok-pokok renek dan belukar. Kalau kau orang belajar geografi dulu, dia panggil hutan sekunder. So walaupon bukit tu kecik je, tapi sebab ada pokok-pokok dan hutan belukar, dia nampak besar. Ilusi optik la lebih kurang.

Soraya selalu ke situ untuk release tension. Dia akan lepak berjam-jam kat situ bila bila dia stress. Dia akan spend masa kat situ macamlah bukit tu bapak dia yang punya bila dia ada problem yang dia tak dapat nak solve.

Selalunya masalah dakwah lah. Gaduh dengan akhawat ke. Kakak naqibah cari pasal ke. Emo dengan hadek bulatan gembira ke. Masalah dakwah lah sangat kan. Ceh.

Tempat tu memang perfect la untuk Soraya. Ada satu pokok besar di puncak bukit yang selalu jadi tempat lepak Soraya. Dulu ada tokong kecik kat sebelah pokok tu. Tapi lama-lama bila Soraya perasan takde orang pon yang datang letak buah oren atau bakar colok kat situ, Soraya pergi alihkan tokong kecik tu letak kat pokok lain. Selamba dia je.

Pemandangan dia bila Soraya duduk kat pokok tu memang perfect. Dari situ Soraya boleh nampak KLCC dan entah macam-macam pencakar langit yang lain. Dia macam combination nature dengan dunia moden. Badan Soraya berada di alam hijau yang cukup menyegarkan; pada masa yang sama, dari situ Soraya nampak hiruk-pikuk dan kesibukan bandar yang menggilakan. Perfect. Just perfect.

Soraya cepat-cepat siap. Disarungkan tudung Indon yang tersangkut pada penyangkut pokok besi yang Mama dia beli di IKEA. Mudah. Sarung dan voila! Cukup sifat untuk seorang akhawat.

Soraya baru sahaja nak tutup pintu biliknya bila dia teringatkan quran diarinya yang kaler pink itu. Pink. Merah jambu. Gegurl la sangat.

Cepat-cepat dia capai qurannya itu. Oklah, terasa baiklah sikit. Dia tak sabar nak cepat-cepat sampai di bukit itu. Dia rasa kalau dia dok di bilik dia untuk lima minit lagi, dia akan jadi gila.

Soraya sengaja tinggalkan iPhone dia di bilik. Tak mahu diganggu. Soraya ada kurang lebih satu jam sebelum masuk waktu Zuhur. Dia tak merancang untuk melepak lama di bukit itu. Cukuplah sekadar nak amik udara segar dan rehatkan fikiran.

Soraya tutup dan kunci pintu depan dengan cermat. Papa dan Mama sudah tentulah di opis ketika itu. Abang dan kakak juga di opis. Adik masih di sekolah. Soraya sahaja di rumah. Padah cuti sem empat bulan lamanya! Gila.

Matahari sudah mula terik di luar. Tapi Soraya tak kisah sebab atas bukit tu sejuk. Bersandar pada batang pokok besar di atas bukit tu macam bersandar pada dinding bilik yang ekonnya terpasang. Serius. Cuma nak berjalan ke bukit tu, berpeluhlah sikit ketiak Soraya.

Sepanjang perjalanan ke sana, macam-macam bermain dalam kepala Soraya. Sebenarnya dah nak dekat sebulan Soraya tak pergi bulatan gembira. Maka nak dekat sebulan jugalah Soraya dah tak duduk-duduk beriman sejenak bersama akhawat. Dah nak dekat sebulan jugalah Soraya tak dengar tafsir dan tazkirah yang menggugah jiwa. Dan dah nak dekat sebulan jugalah Soraya tak borak-borak qadhaya dengan ahli-ahli bulatan gembiranya. Ni semua cuti punya pasal.

Soraya pon takde lah effort nak kontek akhawat lain. Dah akhawat pon macam tak kisah je pasal dia. Macam ok je dia dah tak pergi bulatan gembira sebulan. So fair la kan? Nasib lah.

Tak hairanlah Soraya rasa kering. Rasa lugu macam tadi tu. Sampai boleh terlintas di hati nak masuk meminang Aamir Khan dan bukan ikhwah tempatan. Eh.

Memang Soraya rasa bersalah. Rasa tak kena. Rasa futur. Bukan rasa lagi dah, tapi memang future pon. Tapi… Apa yang boleh dia lakukan?

Tiba-tiba Soraya dah berada di puncak bukit. Pokok favourite Soraya tu sekonyong-konyong ada di depan mata. Cepat betul Soraya menapak.

Time time macam tu, memang Soraya sorang-sorang je lah kat atas tu. Rasanya dah takde orang yang lagi gila dari Soraya, tengah-tengah hari macam tu pergi daki bukit untuk melepak.

Memang sunyi sepi lah suasana kat situ. Sekali-kala ada lah bunyi angin yang bertiup menampar dahan dan ranting pokok. Juga bunyi daun-daun kering yang berguguran, bergeseran dengan rumput atau tanah. Selain tu, memang hening. Seram jugaklah dibuatnya, walaupon di tengah hari buta macam tu.

Orang kata bukit tu berhantu. Dulu kononnya tentera Jepang dok sembelih orang kat situ. Masa zaman komunis, komunis pon jadikan bukit tu untuk seksa orang. Kononnya pada hari-hari tertentu, boleh dengar tapak kaki tentera Jepang tengah berkawat. Kononnya juga, ada orang pernah dengar bunyi suara orang merayu mintak tolong. Kononnyalah. Banyaknya konon.

Tapi Soraya tak kisah. Atau buat-buat tak kisah. Sebab dia dah biasa. Teringin jugak nak jumpa benda-benda tu, boleh buat modal tulis buku. Eh. 

Selepas menyapu daun-daun dan ranting-ranting kering yang ada, Soraya duduk di port biasanya. Mula-mula Soraya duduk bersila. Lepas kakinya lenguh, dia duduk menyilang pulak. Bersimpuh jauh sekali lah, bukan ada bakal mak mertua kat situ pon.

Lama dia duduk tidak berbuat apa-apa melainkan merenung pemandangan yang ada di hadapannya. Memang menenangkan. Dan mengenyangkan emosinya yang lapar.

Tiba-tiba tergerak hatinya untuk membuka quran pinknya. Dah alang-alang bawak sekali kan, takkan nak biar gitu je.

Tapi Soraya rasa tak sedap hati. Dia seperti tahu-tahu apa yang akan berlaku. Dia tahu kalau dia bukak Quran nanti, mesti dia kena 'tampar' dengan Allah. Tapi dia buat dek je. Sebab dia sangat yakin dengan tarbiyah dari Allah. Dan paling penting sebab dia dah selalu kena. Heh.

Dia cekalkan hati. Dia tekad. Dia tarik nafas dalam-dalam, sempat usha dua menara berkembar terpacak tinggi tidak jauh dari situ, baca bismillah dan terus bukak qurannya itu.

Tup tup surah pertama yang dia jumpa, surah al-Hadid. Elok pulak mata dia time tu boleh fokus pada ayat enam belas. Memang terbaik ah.

“Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik.”
[al-Hadid, 57:16]


Peh. Tak seram ke tu?

-gabbana-

Amacam? Ada yang terkencing dalam seluar tak baca cerita seram ni? Wahahaha.

29 January 2015

Cerita (Pendek) Seram I

[Kredit]

Kisah Boleh Tahan Seram

Perlahan-lahan Ariffin menanggalkan tali leher polkadot dari kolar bajunya. Ada bau masam apabila tali leher yang ditanggalkan itu sekilas lalu menyapu mukanya.

Ariffin memandang pada jam dinding bilik bujangnya. Sebelas tiga puluh tiga minit malam.

Sudah hampir seminggu Ariffin begitu; pulang lewat dari kantornya. Semuanya gara-gara mulutnya yang gatal menawarkan diri untuk terlibat sama dalam projek terbaru syarikatnya. Nak bodek bos lah kononnya tu. Padan muka.

Ariffin keletihan. Dia duduk sebentar di pinggir katilnya. Dia hanya termenung, terlalu penat untuk memikirkan perkara-perkara seriyes seperti harga minyak mentah dunia yang merudum jatuh atau pon perihal pesawat MH370 yang masih belum ditemukan sehingga hari ini. Lama dia begitu. Fikirannya kosong.

Akhirnya dia bangkit dan menanggalkan pula baju kemeja berwarna biru petak-petak yang dibeli sewaktu ada sales di Sogo dulu. Dibuka pula kancing seluar kelabu tahi kelawar dengan garis-garis halus berwarna perang muda dan ditanggalkannya seluar itu dengan malas.

Dicapainya tuala yang tersangkut pada rak besi di sebelah katilnya. Perlahan-lahan dia berjalan ke bilik air. Punyalah malas dia berjalan sehinggakan dia dapat mendengar bunyi kakinya yang diseret pada lantai. Ketika itulah hatinya berasa tidak sedap. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Jantungnya berdegup lebih kencang daripada biasa.

Arifin menutup pintu bilik air perlahan-lahan. Dia cuba memikirkan apakah perkaranya itu yang mengganggu fikirannya. Namun dia tidak menemukan jawapan.

Air sejuk yang membasahi kepalanya menjadikan dia lupa sebentar kepada perasaannya yang tidak enak itu. Air itu juga seolah-olahnya berjaya menenangkan jantungnya dan kini ia berdegup seperti biasa. Lega.

Ariffin lebih tenang. Disentalnya kepala, ketiak dan celah kelengkangnya dengan sabun cap Shokobutsu menggunakan loofah yang dibelinya dari Body Shop tidak lama dahulu. Alah kalau kalian sering menonton kartun mengarut Sponge Bob Square Pants itu, pasti kalian mengerti apa itu loofah. Tetiba.

Usai mandi, dengan teliti Ariffin mengelap badannya yang boleh tahan gempal itu. Setiap inci dilapnya dengan cermat dan berhati-hati. Sampai sahaja di bahagian perut, terdetik di hati Ariffin adakah mungkin untuk dia memiliki sikpek suatu hari nanti. Err.

Dia rasa lebih segar. Refreshed.

Namun sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bilik airnya, perasaan tidak sedap hati itu datang semula. Rasa seram sejuk pon ada. Ariffin bingung.

Dia mengamati setiap penjuru biliknya, kalau kalau ada petunjuk yang dapat menjelaskan rasa serba-serbi tidak kena itu. Namun dia gagal menemukan sebarang tanda yang dapat melegakan hatinya.

Berkerut-kerut dahinya cuba memikirkan apa-apa kejadian atau peristiwa yang mungkin terlepas pandang olehnya. Atau apa-apa berita yang dibacanya di mana-mana, sama ada di waksep group yang tidak terkira banyaknya itu atau pada garis masa MukaBukunya. Sekali lagi, dia gagal menemukan sebarang jawapan.

Entah mengapa, tergerak hatinya untuk menyelak langsir biliknya. Ketika itu, jam dindingnya sudah pon menunjukkan waktu dua belas tiga belas minit malam.

Sayup-sayup kelihatan tasik bekas lombong tidak jauh dari apartment yang didiami Ariffin. Airnya tenang. Ada gumpalan kabus yang menyelubungi permukaan tasik. Tenang, tapi menyeramkan.

Lama Ariffin merenung ke luar jendelanya. Jauh di dalam hati Ariffin, dia sedikit berharap sekiranya ketika itu muncul lembaga berselubung putih atau anak toyol berenang riang di tasik itu. Sekurang-kurangnya ia mungkin akan menjelaskan mengapa Ariffin berasa tidak sedap hati ketika itu. Akhirnya dia melepaskan langsir biliknya. Hampa.

Aku penat sangat kot.

Ariffin cuba mencari justifikasi. Akhirnya dia terpaksa akur kepada kepenatan dan keletihan tubuh badannya. Matanya juga sudah semakin berat. Penat.

Sesudah menutup lampu kalimantang biliknya itu, terus dia menghempaskan badannya ke atas katilnya. Berkeriuk katil kayu itu, seperti memprotes tindakan Ariffin yang boleh tahan zalim itu.

Ariffin cuba memejamkan matanya. Entah mengapa, meski penat yang teramat sangat, perasaan tidak tenang dan tidak sedap hati itu menghalangnya untuk belayar ke alam mimpi. Sekejap dia mengiring ke kanan dan sekejap dia mengiring ke kiri. Terlentang, kuak bebas, kuak kupu-kupu; semua posisi sudah dicubanya namun dia masih belum dapat melelapkan matannya.

Degupan jantungnya semakin kencang. Ketika mana seluruh alam buana sudah menutup mata dipeluk kegelapan malam, Ariffin boleh mendengar degupan jantungnya yang kuat itu seolah-olah ada orang yang bermain tabla betul-betul di sebelah telinganya.

Ariffin semakin resah. Gelisah.

Dia membaca bismillah, qul huwallah dan a’udzubillah.

Dan...!

Ketika itulah dia seperti disambar petir. Kelopak matanya terbuka. Terbeliak.

Dia baharu teringat yang dia belum lagi solat Isyak!

Memang seram bhai!

-gabbana-

Nantikan pula cerita (pendek) seram dua. Heh. 

19 January 2015

Menjadi Dai'e Milo, Murabbi Pampers Dan Rijal Megi

[Kredit]

Anda masih ingat tak, sewaktu sekolah rendah dahulu, usai sahaja berarak atau berlari keliling padang semasa hari sukan, ketika masih berpeluh-peluh masam di bawah sinaran matahari yang terik, apa benda yang anda cari dan tuju dahulu? Trak Milo yang memberikan air Milo sejuk dan segar secara percuma itu bukan?

Pergh sumpah epik.

Atau pon masih ingat tak semasa Puan Ibu kita menukar lampin pakai buang adik bongsu kita yang masih tidak reti lagi mahu basuh berak sendiri suatu ketika dahulu? Apa yang terlintas di kepala kita? Pampers bukan?

Ah memori.

Atau masih terngiang-ngiang tak sewaktu di sekolah asrama dahulu, ketika kita bersengkang mata menelaah pelajaran di saat-saat akhir sebelum hari hezkem keesokan harinya, tatkala kesejukan malam mencengkam tulang dan kulit kita? Apa yang kita amat dambakan ketika itu? Megi perisa asam laksa atau tomyam bukan?

Aduhai sumpah lejen!

Nah, apa persamaan Milo, Pampers dan Megi?

Oleh kerana betapa hebatnya penjenamaan produk-produk ini, ia benar-benar melekat di dalam otak kita. Oleh kerana penangan produk-produk ini begitu mengesankan kita, amat sukar sekali untuk kita melupakannya. Oleh kerana sudah begitu lama produk-produk ini wujud di dalam kehidupan kita, ia seolah-olahnya sudah sebati dengan kita.

Sehingga semua produk air berperisa cokolat kita panggil Milo.

Sehingga semua lampin pakai buang kita panggil Pampers.

Sehingga semua jenis mi segera kita panggil Megi.

Samalah juga dengan produk-produk lain seperti Kolget, Kiwi (kasut), Nescafe, Taperwer dan burger Ramly. Produk-produk ini begitu mengesani kehidupan kita, rakyat Malaysia khususnya, sehinggakan semua produk yang serupa akan dipanggil dengan nama yang sama.

Hampir semua jenis ubat gigi dipanggil Kolget.

Hampir semua bekas makanan plastik dipanggil Tapewer.

Dan hampir semua jenis burger yang dijual tepi jalan akan dipanggil burger Ramly.

Memang lejen!

Di dalam bidang pemasaran, ini adalah suatu pencapaian yang cukup cemerlang dan membanggakan. Masakan tidak? Tidak perlu bersusah-payah dan berpeluh ketiak, produk-produk ini akan sentiasa mendapat pemasaran secara percuma sahaja apabila makcik-makcik sibok bersohseh-sohseh di pasar-pasar pagi atau pakcik-pakcik yang sibok bermain dam haji di kedai-kedai kopi.

Andai kita boleh mengaplikasikan fenomena ini ke dalam tarbiyah dan dakwah, sehingga dakwah yang kita bawa dan tarbiyah yang kita perjuangkan begitu mengesani masyarakat, sehingga apabila berbicara tentang Islam, tentang dakwah, tentang tarbiyah, pasti sentuhan kita dahulu yang akan bermain di dalam minda mereka. Sehinggakan tarbiyah rabbani yang mahu kita sebarkan itu benar-benar hidup dengan mereka.

Wah. Itu sangat osem bukan?

Lantas, bagaimana kita boleh jadi sehebat itu? Bagaimana kita bisa menjadi seorang dai’e seganteng Milo, sehaibat Pampers dan sehandal Megi?

Saya tidaklah hebat, apatah lagi hensem di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini. Tapi apalah kiranya ijinkan saya untuk berkongsikan beberapa tips marhaen untuk membantu kita menjadi seorang dai’e Milo, Pampers dan Megi.

Anda sudah bersedia? Baiklah!  

1. Ikhlas
Rasanya tak perlu nak sembang kencang pasal ikhlas ni. Terlalu banyak dalil, baik dalil Quran mahupon hadith yang menekankan keutamaan ikhlas dalam diri seorang mu’min, apatah lagi untuk seorang mu’min murabbi.  

Nak jadi dai’e Milo, memang wajib ikhlas. Nak Jadi murabbi Pampers, konfem kena ikhlas. Dan nak jadi rijal Megi, tiada kompromi mesti kena ikhlas.

Ikhlas inilah yang menghubungkan kita dengan Allah. Ikhlas inilah yang mengabsahkan segala amalan dan kerja-kerja dakwah kita. Dan ikhlas inilah yang menjadikan perjuangan dakwah kita benar-benar mengesani jiwa-jiwa di luar sana.

Jika kita mahu tarbiyah dan dakwah kita membumi dan mengakar di dalam hati dan jiwa mad’u-mad’u kita, maka hanya dengan ikhlas kita sahajalah ia mungkin terjadi.

“Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.”
[Ibrahim, 14: 24-25]

Akar yang kuat itu adalah manifestasi kepada kefahaman yang jitu pada prinsip-prinsip agama ini, dan kefahaman ini diterjemahkan pula dengan amal-amal ikhlas yang sampai ke langit sana; itulah cabangnya yang menjulang tinggi hingga ke langit.

Natijahnya? Buah-buah yang ranum, wangi dan lazat yang dihasilkan setiap waktu dan ketika! Woah!

2. Amal
Nak jadi Murabbi yang Kolget, amal pon mesti Kolget jugalah. Maksudnya, jangan bermimpilah kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita akan mengesani masyarakat andai usaha dan kesungguhan kita ala kadar sahaja.

Tarbiyah dan dakwah kita hanya akan mengesani jiwa-jiwa di luar sana, apabila kita benar-benar mentarbiyah dan berdakwah. Bukan hanya pandai berteori dan berbalah di alam maya. Bukan hanya tahu berkonferens riang dan menjadi pahlawan papan kekunci semata.

Manusia di luar sana perlu melihat sendiri kita di medan. Mereka perlu merasa sendiri sentuhan kita. Mereka perlu menjadi saksi kepada kesungguhan dan keseriyesan kita dalam menegakkan agama ini.

“Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang mu’min…”
[at-Taubah, 9:105]

Bukan, bukan untuk riya’. Bukan untuk menunjuk. Bukan juga untuk takabbur. Nau’dzubillah.

Tetapi anda yang bersungguh-sungguh beramal, yang dasarnya faham dan asasnya ikhlas, pastilah manusia di luar sana akan dapat merasakan tempias kerja-kerja anda itu, meskipon anda sendiri tidak pernah terlintas untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan perkerjaan anda itu.

Cukuplah Allah dan ar-Rasul yang menjadi saksi!

3. Qudwah/Akhlak
Sepertimana Tapewer, burger Ramly dan Nescafe mendapat tempat yang spesel dan unik di dalam kalangan jutaan hati para pelanggannya dek kualiti produk dan bagaimana ia dipersembahkan (Baca: Presentation), para dua’t juga wajib menitikberatkan aspek bagaimana tarbiyah dan dakwah itu dipersembahkan dan dijenamakan pada mata mad’u yang beraneka ragam dan perangai itu.

Dan tarbiyah dan dakwah hanya dapat dipersembahkan dan dijenamakan dengan benar-benar berkesan apabila para dua’t murabbi mempunyai qudwah yang mantap dan akhlak yang meletop-letop boom bommm kedabommmm! Eh.

Sejahat-jahat mana pon si Hashimun Olandoboyo si gengsta jalanan itu, dia pasti akan cair dan tersentuh dengan akhlak kita apabila kita sanggup berkongsi nasi bungku lauk ikan goring cecah sambal belacan dengannya.

Sekeji-keji mana pon mulut si Nyonya Mansore itu mengutuk dan mencerca kita, dia pastinya akan kagum dengan qudwah yang kita tunjukkan apabila kita bertandang ke rumahnya membawa buah lai Cina kegemarannya ketika dia sedang demam selsema.

Sekeras mana pon hati si Haruko Murakama sentiasa menolak dakwah yang kita bawa dengan keras malah mengadu-domba berbohong-dusta pula tentang kita, dia pasti akan tabik spring respek sama kita andai kita terus teguh dengan prinsip kita menyebarkan dakwah dengan chenta.

Nah, bukankah ini semua sudah pon ditunjukkan oleh kekasih hati kita, Muhammad SAW yang terchenta? Maka tidak hairanlah, para orientalis dan sarjana Barat sendiri mengiktiraf keagungan akhlak dan budi pekerti baginda, malah terpaksa mengakui bahawa kekuatan akhlak yang ditunjukkan baginda adalah antara sebab mengapa dakwah Islam boleh pergi begitu jauh.

“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
[al-Qalam, 68:4]

Apabila kita berakhlak dengan sebaik-baik akhlak dan berbudi-pekerti dengan sehebat-hebat budi-pekerti, amat sukar sekali mad’u di luar sana untuk menolak ajakan kita kepada Islam. Dan musuh-musuh kita juga akan kehabisan cara dan ketandusan akal untuk memburukkan dan membunuh karakter kita (Baca: Character assassination).

Paling busuk pon, andai manusia di luar sana tetap menolak ajakan dan dakwah kita, yang akan mereka kenang sampai bila-bila dan tak mungkin lupa adalah akhlak kita yang semerbak bunga, seharum chenta. Ewah kau!

Senyum.

4. Muayasyah
Dalam banyak tulisan saya, saya sering menekankan kepentingan muayasyah, atau dalam bahasa urbannya, borak bantal ini. Ramai dai’e murabbi yang kadangkala terlepas pandang betapa signifikannya acara berborak bantal mesra dengan mutarabbi mereka.

Hanya dengan muayasyah yang hidup dan tulus sahaja yang akan dapat membuka mangga kunci besar lagi tebal si mad’u. Hanya dengan muayasyah yang bersungguh dan seriyes sahaja yang akan berjaya merungkaikan isi hati si mutarabbi yang paling dalam. Dan hanya dengan muayasyah yang terbit dari hati yang ikhlas sahaja, akan dapat menyentuh sanubari subjek dakwah kita dengan sentuhan yang benar-benar basah dan berkesan.

Sekiranya kita rajin mentadabbur al-Quran, kita akan dapati elemen muayasyah ini banyak sekali diamalkan oleh para anbiya’ dalam menyantuni mad’u mereka. Nabi Yusuf a.s. contohnya, bermuayasyah dengan mad’u rakan sepenjaranya. Atau Nabi Ibrahim a.s. yang bermuayasyah dengan ayahnya. Atau Nabi Nuh yang bermuayasyah dengan kaumnya. Malah Allah sendiri bermuayasyah dengan Nabi Musa a.s., seperti yang dinukilkan dalam surah Thaha, bermula ayat sebelas sehinggalah ayat ketiga puluh enam.

Begitulah besarnya pengaruh muayasyah dalam mentarbiyah dan berdakwah. Sepertimana Milo yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam ke atas memori kanak-kanak kita, atau Megi yang tidak mungkin kita akan lupakan kerana menjadi penyelamat kita di sekolah asrama dahulu, atau Tapewer yang sentiasa menjadi sebutan Puan Mama kerana kualitinya yang tidak pernah mengechiwakan, muayasyah yang benar-benar efektif akan turut meninggalkan kesan yang cukup mendalam di dalam jiwa mutarabbi kita.

Wahai!

5. Pengorbanan/ Mujahadah
Akhirnya, seorang dai’e Milo dan murabbi Kolget itu tidak boleh tidak, wajib mempunyai kekuatan untuk berkorban dan bermujahadah. Bukan sehari dua Milo menjadi produk yang begitu femes dan glamor. Bukan sekelip mata Pampers berjaya menempa nama. Dan bukan semudah alif baa taa Kolget akhirnya berjaya menambat hati para pengguna.

Hanya selepas melalui pengeluaran demi pengeluaran, dikritik dan dikomen, diperbaiki dan ditambahbaik, dikaji dan diteliti berulang kali, produk-produk ini berjaya mencapai suatu tahap kualiti yang unggul seperti yang kita lihat pada hari ini.

Nah, tiada bezanya hal ini dengan kehidupan kita sebagai seorang dai’e.

Hanya selepas melalui mehnah dan tribulasi, dikutuk dan dikeji, dicuba dan diuji, kita dapat bermuhasabah dan mengkoreksi diri. Hanya setelah melakukan kesilapan, kita akan belajar untuk berjalan di atas kebenaran. Hanya setelah memijak dasar laut yang paling dalam, kita mampu untuk menginjak dan berenang laju ke permukaan.

Puitis kan? Eceh.

Semuanya itu memerlukan pengorbanan yang besar dan mujahadah yang mahal harganya. Kita yang telah melalui kesusahan dan penderitaan, yang kini lebih matang setelah diuji dan dicuba dengan bermacam jenis mehnah dan kepayahan, kini pastinya lebih bersedia, bertenaga dam bersemangat waja untuk menyebarkan ayat-ayat chentaNya!

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
[al-Insyirah, 94:5-6]

Fuh.

Cukup mungkin lima tips untuk menjadi seorang dai’e Milo, Pampers dan Megi. Juga Kolget, Tapewer dan burger Ramly. Eheh.

Semuanya ini dengan ruh kita mahu mentarbiyah dan berdakwah dengan cara yang paling efektif. Semuanya ini dengan semangat yang kita mahu melakukan yang terbaik untuk ummah ini! Dan semuanya ini hanya kerana kita mahu menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain, sesuai dengan sabda baginda SAW:

“Dan sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”

[Hadith riwayat Thabrani dan Daruquthni]

Selamat menjadi dai’e Megi, murabbi Pampers dan rijal Megi!

In before,

“Akhi, kalau nta gi kedai karang tolong belikan ana Pampers sebungkus.”

“Hah?? Nta nak buat apa..??”

“Entah tu baca dalam belog Inche gabbana tu, kita kena jadi dai’e Pampers…”

Tepuk dahi.

-gabbana-

Ya, saya tahu. Kena boikot Milo dan Megi tu semua, sebab produk Nestle.

Sengaja nak jadikan contoh, sebab rakyat Malaysia memang amat susah untuk berpisah dengan produk-produk Nestle ni kan?


Bacalah antara baris. InshaAllah ada ibrahnya tu. Senyum.

13 January 2015

Mengapa Lebih Ramai Orang Pergi Konsert K-Pop Daripada Bulatan Gembira?

[Kredit]

Soalan ini klise, tapi saya rasa ada keperluan untuk menjawabnya.

Soalan ini boleh juga divariasikan kepada:

·     Mengapa lebih ramai orang yang ke soping komplek daripada pergi berdakwah?
·   Mengapa lebih ramai orang yang suka tengok wayang daripada tengok ostad bagi kuliah?
·   Mengapa lebih ramai orang yang pergi konsert K-Pop daripada pergi berjihad fi sabilillah?

Ok yang terakhir itu sengaja mahu bikin panaasss. Kekeke.

Of kos, jawapannya juga sebenarnya sangatlah lurus ke hadapan. Tak perlu ikut bulatan gembira pon sebenarnya dah boleh jawab. Ambil ijazah sarjana muda Syariah dan Usuluddin apatah lagi.

Namun rupa-rupanya Allah sudah jawab dahulu daripada kita. Lama dahulu, ketika ayat-ayat chentaNya diwahyukan kepada ar-Rasul SAW.

Enggak percaya? Loh, ambil Quran lo’ dan ayuh baca sama-sama!

Sudah bersedia?

“Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ‘Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu.’ Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta.”
[at-Taubah, 9:42]

Ha, kan dah cakap. Allah dah jawab kan?

Allah sedang berbicara menggunakan logik akal manusia; betapa yang mudah diperoleh dan tidak jauh itulah yang menjadi pilihan utama mereka. Malangnya, logik akal manusia inilah yang seringkali merugikan manusia itu sendiri. 

Rupa-rupanya, ramai manusia di luar sana memilih untuk mengejar dunia kerana keuntungannya lebih mudah untuk diperoleh.

Ramai orang yang malas, culas dan beragas mahu bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah kerana leceh dan tak best.

Ramai orang yang berat untuk menyahut seruan jihad kerana tidak sanggup untuk meninggalkan keselesaan rumah berekon dan telebisen skrin leper empat puluh lapan inci. Eh.

Berdakwah dan berjihad itu sebenarnya menguntungkan, malah paling amat menguntungkan. Keuntungannya jauh melebihi seluruh dunia dan seisinya. Hanya sahaja keuntungannya bukan di sini, tapi di akhirat sana. Keuntungannya tidak boleh dilihat dengan mata. Keuntungannya tidak segera, gedebup jatuh ke atas riba.  

Namun sedihnya, keuntungan akhirat itu tidak kena dengan logik akal manusia yang terhad itu. Maka akal kita yang cetek dan sempit itu, gagal menafsirkan bahawa di sana, nun di akhirat sana, ada sebuah keuntungan yang maha agung, yang harganya tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana kesenangan di dunia ini. Cumanya, ia tercipta dan terbina di atas jerih payah, sakit dan susah kita di dunia.  

Kerana itu ramai dalam kalangan kita mengambil jalan pintas, mahu menikmati keuntungan dan keselesaan di dunia.

Kerana itu ramai yang sanggup bersengkang mata mahu menyiapkan kerja di kantor, tapi tidak sanggup bersengkang mata untuk bangun bertahajjud kepadaNya.

Kerana itu ramai yang sanggup menghabiskan ratusan malah ribuan ringgit untuk membeli kasut, beg tangan, baju, jam dan sebagainya, tetapi kedekut taik idung masin mahu membelanjakan harta untuk kegunaan dakwah fisabilillah.

Kerana itu juga lebih ramai yang gemar untuk mengunjungi shoping komplek, pusat karaoke dan panggung wayang, dan bukan bulatan gembira atau kuliah-kuliah ilmu.

Kerana semua itu menjanjikan keseronokan yang fana. Semua itu menjamin keuntungan yang mudah diperoleh. Semua itu dekat dan senang didapati!

Alangkah ruginya kita kerana telah melepaskan keuntungan akhirat yang jauh lebih osem dan bergaya, hanya gelojoh dan tamak mahu menikmati kesenangan di dunia!

Alangkah!

“Dan adapon orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya, maka sesungguhnya, sorgalah tempat tinggalnya.”
[an-Nazi’at, 79:40-41]

Nah, bagaimana pula dengan kita yang kononnya sudah bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini? Apa anda sangka, ayat at-Taubah tadi itu hanya terguna pakai untuk mereka yang sanggup ke Genting Highlands semata-mata mahu dipeluk dan dicium oleh idola K-Pop mereka? Err.

Ketahuilah, ayat itu juga sebenarnya sedang menampar-nampar kita!

Kita hanya sanggup ke bulatan gembira apabila tempatnya sepelaung sahaja dari rumah kita. Jauh sikit sahaja, kita sudah mula membebel dan mengomel.

Kita hanya mahu melakukan kerja-kerja aktivisme kerana itu yang lebih popular dan glamor, sedangkan kerja-kerja mentarbiyah dan  menyentuh hati yang busuk dan susah itu, kita abaikan.

Kita sanggup datang ke konferens riang kerana hanya itu sahajalah peluang untuk kita mencuri pandang dan main kenyit mata dengan akhawat pojaan hati kita. Tersembur.

Kita mendengus tidak puas hati, mencaci-maki di dalam hati apabila sang murabbi kita memberi pengarahan yang menyebabkan kita terpaksa keluar dari zon selesa kita.

Kita bersemangat melakukan amal-amal dakwah hanya apabila ia dilihat orang, lantas dipuji dan dihaplod ke MukaBuku atau Intagram dan seterusnya mendapat LIKE yang tidaklah banyak mana pon.

Err.

Kita tak sanggup nak korbankan masa kita untuk tarbiyah dan dakwah.

Kita rasa berat mahu lebihkan infaq untuk kegunaan jihad fisabilillah.

Kita rasa sukar untuk menyumbang tenaga kita untuk kerja-kerja amal kerana kita mahu rehat-rehat di rumah.

Dan apabila ditanyakan kepada kita, apa alasan kita?

“Jikalau aku sanggup, nescaya aku akan berangkat bersamamu!”

Walhal, jauh di dalam sudut hati kita, kita tahu yang yang kita berdusta! Dan Allah juga tahu yang kita berdusta!

Allahu Allah! Potong bawang laju-laju.

Ayuh kita sama-sama muhasabah diri kita!

Adakah kita sudah benar-benar menjual seluruh jiwa raga kita untuk perjuangan ini? Adakah kita sudah sanggup mengorbankan harta, masa dan tenaga kita semata-mata untuk dakwah ini? Adakah kita boleh jamin yang apabila gendang jihad dipalu, kitalah orang pertama yang akan menyambutnya? Adakah kita tidak akan berkira dengan Allah apabila kita dituntut untuk menyerahkan segala apa yang ada pada kita untukNya?

Jalan dakwah ini panjang!

Jalan dakwah ini sukar!

Jalan dakwah ini menyeksakan!

Jalan dakwah ini tidak senang!

Jalan dakwah ini menyakitkan!

Hanya orang yang benar-benar ikhlas dan faham sahaja yang akan berjaya melaluinya!

Maka beruntunglah orang-orang yang telah pon menjual harta dan nyawanya di atas jalan ini, kerana balasan untuk mereka ini hanyalah sorga! SORGA!  

“Sesungguhnya Allah telah membeli dariorang-orang mukmin, baik diri mahupon harta mereka dengan memberikan sorga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; ehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai (janji) yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Mak bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.”
[at-Taubah, 9:111]

Nanges boleh?

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP