Dah lama saya tak tulis pasal permainan riang gembira yang boleh memberi faedah besar kepada kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan tarbiyyah diri kan..?
Baiklah. Izinkan untuk saya berkongsikan satu lagi permainan yang saya jamin boleh meningkatkan tahap adrenalin dan meningkatkan kecekapan dan merungkaikan neuron-neuron otak anda yang sudah berserabut itu. Wahahaha.. Permainan ini amat sesuai dimainkan di dalam konferens riang Saya Hosem (SH) kerana pengajaran dan nilai-nilai moral yang terkandung di dalamnya. Tetapi sesuai juga dimainkan di dalam bulatan gembira anda; jangan risau, saya tidak akan menyaman anda kerana tidak memainkannya dalam format konferens riang! Gelak keji sedikit.
Begini. Untuk memainkan permainan ini dengan berkesan, jumlah pemain yang disarankan adalah lebih daripada lima orang dan tidak melebihi sepuluh orang. Maknanya, kalau permainan ini dimainkan di konferens riang, pecahkan para peserta mengikut kumpulan dalam kira-kira tujuh atau lapan orang bagi setiap kumpulan.
Untuk bermain permainan ini, setiap kumpulan hanya memerlukan sehelai kertas dan sebatang pen. Kalau anda rajin dan pemurah, boleh juga bekalkan satu set pensel krayon untuk setiap kumpulan. Tidak perlulah cat minyak dan kanvas kulit antelop yang mahal itu. Wahaha.. Err, ok syok sendiri pula.
Beri arahan supaya para peserta duduk di dalam kumpulan masing-masing di dalam satu barisan yang memanjang ke belakang. Beritahu pada mereka, insan bertuah yang duduk di belakang sekali jika boleh hendaklah seseorang yang pandai melukis. Panggil makhluk yang duduk di depan sekali untuk datang ke hadapan.
Ha, sekarang ni adalah bahagian yang paling penting dan cukup mengujakan. Kumpul mereka ini (yang duduk paling hadapan tadi) dan bawa mereka ke suatu sudut yang agak jauh daripada ahli-ahli kumpulan yang lain. Reka satu cerita yang boleh tahan kompleksnya dan ceritakan kepada mereka ini.
Boleh jadi ceritanya berbunyi begini:
"Seorang lelaki bermisai tebal yang mencecah telinga, sedang berjalan-jalan di tebing sungai. Tidak jauh daripada lelaki itu, seekor tenggiling sedang bermain kejar-kejar dengan seekor kijang. Tiba-tiba air berkocak dan keluar seekor beruang polar yang sedang menggigit seekor udang galah. Seorang mak cik yang berbaju kurung yang juga menyaksikan perisitwa itu begitu terkejut sehingga dia menjerit 'Opocot mak kau!'"
Atau..
"Di sebuah kota metropolitan yang canggih lagi moden, kelihatan seekor raksasa gorgon sedang dalam perjalanan untuk menghapuskan kota tersebut. Seeorang kanak-kanak yang terserempak dengan raksasa itu, menangis ketakutan sehinggakan lolipop yang dimakannya jatuh ke tanah lantas dikerumuni semut. Seorang hakak yang memakai tudung labuh yang baru habis membeli-belah pula terus pengsan apabila ternampak raksasa itu. Dari jauh kelihatan Otromen sedang terbang menuju ke arah raksasa itu. Sekumpulan tok-tok aji yang sedang bermain dam haji bertepuk-tangan gembira sambil mengucapkan 'Alhamdulillah!' apabila melihat kedatangan Otromen itu."
Boleh juga..
"Seorang pahlawan zaman Melayu Melaka yang tersisip kemas keris di tepi pinggangnya dan juga memakai songket sedang menunggang seekor harimau di dalam sebuah hutan yang penuh dengan flora dan fauna. Sebuah sungai mengalir tidak jauh dari situ dan kelihatan seekor kura-kura tua di dalamnya. Sebuah pokok tersergam dan di atasnya seekor burung rajawali sedang berbual mesra dengan seekor tupai. Kelihatan juga seeorang mak cik yang sedang menjual nasi lemak sambal ikan bilis dengan harga lima pulosen sebungkus di situ."
Terpulanglah pada kreativiti kepala hotak anda, asalkan ceritanya kompleks dan cukup berwarna-warni. Pastikan anda bercerita dengan jelas dan sekali lalu sahaja. Selesai bercerita, peserta yang sudah mendengar cerita daripada anda itu, hendaklah memanggil peserta di belakangnya tadi ke hadapan dan menceritakan semula kepada rakannya itu apa yang didengari dan difahaminya. Pastikan peserta yang ketiga tidak dapat mendengar apa yang peserta pertama ceritakan kepada peserta kedua.
|
Pastikan cerita atau mesej disampaikan pada peserta yang seterusnya, tanpa didengari oleh peserta yang lain! [Kredit] |
Teruskan permainan sehinggalah peserta terakhir dipanggil ke hadapan. Seusai dia mendengar cerita daripada peserta kedua yang terakhir, dia hendaklah segera melukiskan suasana atau situasi yang didengarinya itu, tanpa bantuan daripada ahli-ahli kumpulannya.
Saya kira kini anda sudah boleh mengagak bukan permainan apakah ini sebenarnya? Ya, ada orang memanggilnya sebagai Bisikan Cina (Baca: Chinese Whisper). Ada juga yang menamakannya Telefon Rosak. Saya..? Saya gelar permainan ini sebagai 'Game Syahadatul Haq.' Baru kool.
Pada konferens riang hujung minggu yang lepas, buat pertama kalinya saya telah bermain permainan ini bersama hadek-hadek yang mendengar pengisian Saya Hosem. Dan saya telah mereka-reka cerita seperti contoh yang ketiga di atas ondedot ketika itu juga. Pada mulanya niatnya hanya untuk menghilangkan rasa bosan maksima dan mengantuk tahap beruang koala. Tetapi terus saya mendapat ilham permainan ini punya ibrah dan pengajaran yang cukup besar untuk diaplikasikan kepada pengisian Saya Hosem itu. Sumpah osem.
Namun begitu, saya ada amaran tiga perempat keras untuk anda. Permainan ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk memecahkan perut atau usus besar anda. Sumpah. Saya sendiri entah berapa gelen air mata yang dirembeskan akibat tidak tertahan melihat hasil akhir permainan ini.
Mari saya kongsikan lukisan-lukisan bertaraf Picasso yang telah dihasilkan oleh hadek-hadek ini. (Maaf, anda terpaksa bayangkan di dalam kepala sahaja. Tidak berkesempatan untuk skan hasil lukisan mereka.)
Daripada empat kumpulan yang ada, hanya satu sahaja yang hampir-hampir tepat menghasilkan lukisan yang menggambarkan situasi sebenar. Hampir sempurna, kecuali mereka gagal menggambarkan kura-kura di dalam sungai adalah kura-kura yang sudah lanjut usianya. Kumpulan kedua yang paling tepat, hampir semua watak dan situasi berjaya digambarkan dengan tepat, malah nasi lemaknya siap dengan harga dan sambal ikan bilis di sebelah. Memang terbaik, kecuali satu; burung rajawali berbual mesra dengan kera dan bukannya tupai. Peluh kecil.
Tiada kedudukan ketiga atau keempat kerana, err, kedua-dua kumpulan yang selebihnya menghasilkan lukisan yang cukup 'sesat' lagi menyesatkan. Hohoho.. Satu kumpulan melukis mak cik sedang berbual mesra dengan burung rajawali di atas pokok. Tiada sebarang nasi lemak kelihatan. Kura-kura juga hilang entah ke mana.
Kumpulan satu lagi lebih mengharu-birukan. Mak cik itu sedang bertenggek di atas pokok dan melaungkan 'Nasi Lemak...!' sambil.... MEROKOK. Ya. Merokok. Dan pahlawan Melayu Melaka pula sedang memegang mangkuk berisi sup tulang di tangannya.
Sekarang anda boleh bayangkan bukan, risiko besar yang dihadapi oleh perut dan paru-paru saya ketika itu. Peluh besar menitik-nitik.
Oleh sebab itulah permainan ini lebih sesuai dimainkan di dalam konferens riang berbanding bulatan gembira, kerana anda berpeluang untuk melihat lebih banyak hasil seni dan karya yang menggeletek buah pinggang dan pankreas anda. Wahahaha..
Baiklah, sekarang saya akan beri anda masa dan peluang untuk memikirkan pengajaran dan ibrah daripada permainan ini (padahal sebenarnya malas nak tulis sekarang. Hohoho...). Saya telah pon memberi panduan yang permainan ini punya aplikasi yang cukup besar untuk Saya Hosem.
|
Nah hamek satu lagi hint dari saya! [Kredit] |
Maka saya kira anda yang cukup bijak dan cekap di luar sana, pasti tidak punya masalah untuk menaakul dan memproses pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam permainan ini bukan..? Jangan segan-segan untuk meninggalkan komen anda yang penuh bergaya itu tahu..? Jangan nak kedekut sangat berkongsi ilmu dan rahsia yang terkandung di dalam permainan ini dengan kami semua! (Err.. Bunyi macam ironik je.. Peluh.)
Dan oh, seperti biasa, sekiranya anda membuat keputusan untuk bermain permainan ini, seperti biasa, saya tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau kehilangan harta-benda, baik milik persendirian atau kerajaan tempatan. Sayugia sekiranya anda betul-betul mahu mengambil risiko bermain permainan ini, pastikan anda pasang tali pinggang dan topi keledar keselamatan..! Wahahaha..
Selamat mencuba! (Err.. Tapi anda mungkin mahu menunggu pengajarannya dahulu..)
Sekali lagi.
Selamat mencuba bermain permainan ini setelah anda faham dan hadam betul-betul pengajarannya nanti..! Hoyeeaahhh!
Senyum sambil membuat tanda aman.
-gabbana-